Bila bercakap tentang nak hamil, ramai pasangan mungkin terus fikir tentang waktu subur, vitamin, pemakanan atau usaha untuk mendapatkan zuriat.
Tapi sebenarnya, persediaan sebelum hamil boleh bermula lebih awal daripada yang kita sangka.
Baru-baru ini, Parenthood Media bersama Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL) telah menganjurkan What Women Want Forum: Before We Bloom – A Couple’s Guide to Pre-Pregnancy di MyToday, Atria Shopping Gallery.Forum ini membuka ruang untuk wanita dan pasangan mendapatkan lebih banyak informasi mengenai kesuburan, kesihatan hormon, persediaan sebelum hamil dan perkara yang boleh mempengaruhi peluang untuk hamil.
Kesihatan Sebelum Hamil Pun Penting
Antara perkara menarik yang dikongsikan ialah penjagaan kesihatan sebelum hamil tidak semestinya hanya bermula apabila kita sudah aktif mencuba untuk mendapatkan zuriat.
Menjaga kesihatan reproduktif dan kesihatan secara keseluruhan lebih awal boleh membantu seseorang mengenal pasti sebarang masalah kesihatan yang mungkin memberi kesan kepada kehamilan.
Dalam forum ini, Dr Raymond Lim, Pakar Obstetrik & Ginekologi (O&G) dan Dr Lim Sue Wen, Pakar Endokrinologi dari Pantai Hospital Kuala Lumpur turut berkongsi mengenai faktor-faktor yang boleh mempengaruhi kesuburan.
Antaranya termasuklah:
- Faktor usia
- Kesihatan hormon
- Berat badan
- Pemakanan
- Aktiviti fizikal
- Tekanan
- Keadaan kesihatan tertentu
- Kesihatan reproduktif kedua-dua pasangan
Beberapa keadaan kesihatan seperti polyendocrine metabolic ovarian syndrome (PMOS), endometriosis, masalah tiroid dan diabetes juga boleh memberi cabaran kepada proses untuk hamil.
![]() |
| Dr Raymond Lim, Pakar Obstetrik & Ginekologi (O&G) dan Dr Lim Sue Wen, Pakar Endokrinologi |
Sebab itu, mengenali tanda-tanda atau masalah kesihatan lebih awal dan mendapatkan nasihat doktor boleh membantu wanita memahami keadaan kesihatan diri dengan lebih baik.
Nak Hamil Bukan Tanggungjawab Wanita Sahaja
Ini antara perkara yang saya rasa penting untuk kita bincangkan secara terbuka.
Apabila pasangan mengambil masa lebih lama untuk mendapatkan zuriat, ia bukan semata-mata isu wanita.
Kesuburan adalah perjalanan yang melibatkan kedua-dua pasangan.
Faktor lelaki juga boleh menyumbang kepada masalah kesuburan. Jadi, jika pasangan mengalami kesukaran untuk hamil, penilaian kesihatan mungkin perlu melibatkan kedua-dua pihak.
Selain itu, gaya hidup dan kesihatan seperti pemakanan, berat badan, aktiviti fizikal, tekanan serta keadaan perubatan tertentu juga boleh memainkan peranan dalam kesihatan reproduktif dan kehamilan.
Bila perkara ini dibincangkan secara terbuka, sekurang-kurangnya pasangan boleh mendapatkan maklumat yang lebih tepat dan tidak perlu membuat andaian sendiri.
Jumpa Pakar Kesuburan Tak Semestinya Terus IVF
Satu lagi salah faham yang turut disentuh dalam forum ini ialah apabila seseorang mendapatkan konsultasi kesuburan, ia tidak bermaksud mereka akan terus menjalani IVF.
Sebenarnya, konsultasi kesuburan bermula dengan memahami punca atau faktor yang mungkin menyebabkan kesukaran untuk hamil.
Bergantung kepada keadaan setiap individu atau pasangan, doktor mungkin mencadangkan beberapa pilihan seperti perubahan gaya hidup, ubat-ubatan, rawatan untuk masalah kesihatan tertentu atau rawatan kesuburan berbantu seperti IVF jika bersesuaian.
Jadi, mendapatkan pemeriksaan awal bukan bermaksud terus perlu menjalani rawatan tertentu.
Sebaliknya, ia adalah peluang untuk kita lebih memahami keadaan tubuh sendiri dan mengetahui pilihan yang ada.
Before We Bloom, Jaga Diri Dari Sekarang ❤️
Bagi saya, antara mesej paling penting daripada forum Before We Bloom ini ialah persediaan untuk kehamilan bukan hanya bermula apabila kita sudah nampak dua garis pada UPT.
Kesihatan sebelum hamil juga merupakan sebahagian daripada perjalanan tersebut.Kalau sedang merancang untuk mempunyai anak, mungkin inilah masa yang sesuai untuk mula memberi perhatian kepada kesihatan diri dan pasangan — termasuk kesihatan hormon, pemakanan, gaya hidup serta sebarang masalah kesihatan yang sedia ada.
Dan paling penting, jangan takut untuk bertanya dan mendapatkan nasihat daripada doktor.
Setiap pasangan mempunyai perjalanan yang berbeza. Apa yang sesuai untuk seseorang mungkin tidak semestinya sesuai untuk orang lain.
Terima kasih Parenthood Media dan Pantai Hospital Kuala Lumpur kerana membuka ruang untuk perbincangan yang lebih terbuka mengenai kesuburan dan kesihatan sebelum hamil.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkhidmatan pakar di Pantai Hospital Kuala Lumpur, boleh layari www.pantai.com.my/kuala-lumpur dan dapatkan nasihat perubatan daripada profesional kesihatan yang berkelayakan.









0 comments:
Post a Comment