Hari Kemerdekaan ke 67 tahun disambut meriah tahun ini. Manakala, malam Ambang Merdeka menjadi tumpuan baik golongan muda mahupun yang tua bagi meraikan detik 12 tengah malam 31 Ogos dengan percikan bunga api dan persembahan menarik.
Tidak ketinggalan pertubuhan serta NGO yang sama-sama mengambil kesempatan memeriahkan suasana meraikan Ambang Merdeka dengan pelbagai aktiviti menarik sementara menunggu detik 12 malam.
Laungan MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! bergema saat tibanya detik 12 malam dan diselangi dengan upacara menaikkan bendera Malaysia di dataran Wisma Rampai, Kuala Lumpur.
Upacara menaikkan bendera Malaysia tersebut disempurnakan oleh Yang DiPertua PERKASA Wilayah Persekutuan, Dato Zaharin Mohd Yassin sempena majlis Ambang Merdeka anjuran Perkasa Wilayah Persekutuan, Veteran 1 Malaysia dan Peduli Insan.
Bertemakan “Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka”, pelbagai acara menarik telah diadakan pada malam ambang merdeka ini seperti pertandingan pakaian beragam kanak-kanak yang menyaksikan penyertaan 11 orang kanak-kanak meragakan busana tradisional dan busana kreatif Merdeka inspirasi dari warna Jalur Gemilang.
Pertandingan pakaian beragam kanak-kanak |
Manakala kuiz Merdeka turut menyaksikan 10 orang peserta terdiri daripada pengunjung acara Ambang Merdeka ini. Soalan kuiz ternyata menguji para peserta tentang pengetahuan serta sejarah kemerdekaan negara kita.
Peserta pertandingan Kuiz Merdeka |
Persembahan nyanyian lagu patriotik dan lagu Merdeka turut diadakan sepanjang majlis berlangsung bagi memeriahkan acara sambil menghibur para tetamu.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran beberapa tetamu kehormat, YBhg. Dato’ Zaharin bin Mohd Yassin (YDP Perkasa WP), YBhg. Dato’ Jawahar Ali Taib Khan (Pengerusi PRESMA), YBhg. Dato Abd Rahman Hashim (Pengerusi Veteran 1 Malaysia), YBhg. Dato’ Sri Abu Hassan bin Mohd Nor (Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia), YBhg. Tuan Jaafar Albar Abd Talib (Pengerusi Persatuan Peduli Kasih), YBhg. Tuan Ishak bin Man (Pengerusi Pertubuhan Tentera Tidak Berpencen WP/Putrajaya), serta wakil dari Ogoshop Sdn. Bhd. dan Encik Alex Ng (JMB Wisma Rampai).
Turut memeriahkan majlis dengan kehadiran Ayahanda Dato’ Abdul Rani Bin Kulup Abdullah dari Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibah Malaysia yang turut membuat persembahan dan berkongsi pengalaman dengan tetamu yang hadir.
Ayahanda Dato’ Abdul Rani Bin Kulup Abdullah dari Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibah Malaysia yang turut membuat persembahan |
Seramai 200 orang tetamu mengadiri majlis Ambang Merdeka kali ini. Majlis ini menyaksikan beberapa NGO terlibat seperti PERKASA Wilayah Persekutuan yang memfokuskan kepada memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat, terutama dalam konteks perpaduan dan penyatuan masyarakat.
Manakala Peduli Insan pula menumpukan kepada kebajikan masyarakat, memberikan bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik dalam bentuk makanan, perubatan, dan sokongan sosial.
Veteran 1 Malaysia, ditubuhkan untuk memperjuangkan kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), memastikan mereka menerima sokongan yang diperlukan dalam aspek kebajikan, kesihatan, dan peluang pekerjaan.
Majlis turut mendapat penajaan dari Restoran Ali Maju, yang merupakan perintis dalam industri restoran Muslim India yang terkenal dalam industri makanan berkonsepkan Mamak. Restoran Ali Maju menyediakan makanan dan minuman bagi para tetamu yang hadir, memastikan semua peserta menikmati hidangan yang berkualiti.
Restoran Ali Maju dan pemilik Dato’ Haji Jawahar Ali turut menaja persembahan bunga api bagi menambah kemeriahan sambutan Ambang Merdeka yang diadakan sebagai penutup acara. Sokongan padu yang ditunjukkan membolehkan acara ini berlangsung dengan jayanya dan memasuki tahun ke empat pada tahun ini.
Majlis berlangsung dengan jayanya dan komitmen yang diberikan setiap badan bukan kerajaan (NGO) ini memantapkan lagi sambutan Ambang Merdeka 2024 di Wisma Rampai ini.
YBhg. Dato’ Zaharin bin Mohd Yassin (YDP Perkasa WP) menyampaikan ucapan sempena Sambutan Ambang Merdeka di Wisma Rampai, Kuala Lumpur |
Turut memberikan sokongan untuk majlis ini ialah Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia (DPUM). DPUM berperanan sebagai platform untuk menggalakkan pertumbuhan dan pembangunan usahawan, serta menyediakan sumber dan sokongan bagi meningkatkan daya saing mereka dalam pasaran. Penyertaan ahli DPUM untuk majlis ini amat memberangsangkan.
Turut diadakan penyampaian sumbangan kepada golongan yang memerlukan. Ini bagi memastikan golongan tersebut tidak dipinggirkan. Sumbangan termasuk sebuah kerusi roda turut disampaikan kepada penerima.
Yaya dari OGOShop Sdn. Bhd. turut menyumbangkan cenderahati berupa produk IKS pada acara sambutan Ambang Merdeka di Wisma Rampai baru-baru ini.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat bagi menjayakan majlis ini terutamanya kepada JMB Wisma Rampai yang menyediakan tempat bagi majlis ini dan juga memberikan tempat untuk kita pacakkan tiang bendera di dataran Wisma Rampai," kata YBhg. Dato Abd Rahman Hashim, Pengerusi Veteran 1 Malaysia.
Majlis ini berjaya memupuk semangat cintakan tanah air bagi semua peringkat usia dan memgambil kira penglibatan semua peringkat usia. Semoga semua yang hadir dapat menghayati pengorbanan dan pengertian kemerdekaan yang telah dikecapi selama 67 tahun ini.