Untuk mengecapi kejayaan itu bukan sesuatu yang mudah. Ia takkan datang bergolek tanpa usaha dan niat yang betul. Pastinya dalam setiap siri episod kejayaan itu, akan bersulam rintangan dan cabaran ditempuhi. Ia bagai sebuah sinetron.
Bagi ahli perniagaan, Rosniwati Beharom, 45, yang mengusahakan produk kesihatan kulit Saapuu, dia juga tidak lepas diuji.
"Kalau nak diimbas semula, saya mula menceburi dunia bisnes ini sejak tahun 2003. Daripada berstatus ‘enterprise’, syarikat saya naik taraf menjadi ‘sdn bhd’ sejak Januari tahun 2020. Saya bermula dengan kerja menjahit baju, bergelar mak andam, buat baju sedia pakai dan tempahan bagi lelaki serta perempuan. Pendek kata dalam tempoh dari tahun 2003 hingga tahun lalu, macam macam bisnes saya cuba. Cuma awal tahun lalu, saya cabar diri untuk mengubah angin. Maka tercetuslah idea mengeluarkan produk kulit serbaguna Saapuu,” katanya.
Mengimbas kembali, Rosniwati berkata, dia mula bergelut selepas berkahwin dengan Roshazly Rusali, 47, pada Jun 2001.
"Kami bukan siapa siapa. Macam orang lain juga. Sebelum berkahwin, saya menjahit baju dan membantu emaknya berniaga di pasar malam. Saya berasal dari Seri Manjung, Perak dan suami pula dari Klang, Selangor. Selepas berkahwin, saya dan suami tinggal bersama keluarga mentua kira kira 16 tahun di Klang. Ketika ini kami sudah tinggal berasingan dengan mentua.
Pendapatan kami ketika itu masih tergolongan di bawah golongan B40. Saya pernah bekerja di sebuah kilang di Shah Alam selama lima tahun sebagai pembantu akaun. Pada masa sama, saya ambil upah menjahit pakaian di rumah. Ingat lagi saya ambil upah menjahit di rumah mentua. Bayangkan sampai meja makan milik ibu mentua ada kesan gores roda surih ketika memotong pakaian. Alhamdulilah saya dapat mentua yang 'sporting'," katanya.
Membuat keputusan berhenti sebagai pembantu akaun, dia memberanikan diri menyewa lot kedai dengan hasil pinjaman MARA.
"Saat itu, bermula liku perjalanan saya sebagai tauke kedai jahit. Saya berkongsi separuh ruang kedai dan bayaran sewa dengan isteri kepada kawan suami yang menjalankan perniagaan butik andaman pengantin. Cuma operasi butik berkenaan tak lama kerana masalah keluarga. Bagaimanapun saya mengambil alih perniagaan itu. Alhamdulilah semuanya kelihatan okey saya pada awalan. Adat berniaga dan persaingan, saya berdepan kejatuhan yang teruk pada tahun keempat berniaga.
Pada ketika itu, pihak katering pun bijak membuat pakej makanan sekali dengan pelamin, baju kahwin dan solekan. Akhirnya perniagaan butik andaman saya itu merosot. Yang bertahan hanya kedai jahit baju saja," katanya.
Selepas lapan tahun bertahan dengan perniagaan kedai jahitan, saya terus diuji tanpa henti.
"Saya reda. Namun sebagai manusia biasa, saya juga insan lemah. Bagai jatuh ditimpa tangga. Saya dan suami hanya dikurniakan anak selepas 12 tahun berkahwin. Penantian itu benar satu penyiksaan. Namun di sebalik semua itu, tersusun nikmat indah. Benar Allah tak berhenti menguji hamba-Nya. Kami dikurniakan cahaya mata perempuan pada Jun 2013 dengan hasil rawatan kesuburan persenyawaan in-vitro (IVF). Anak saya kini berusia lapan tahun.
Bagaimanapun pada penghujung tahun 2014, suami pula diserang pelbagai penyakit termasuk masalah psoriasis, gout dan angin ahmar peringkat awal ketika tidur. Masa diserang sakit itu, kedua matanya langsung tak dapat melihat. Masalah matanya dapat dirawat. Berat badannya pun menyusut dari 110 kilogram (kg) ke 76 kg. Ketika menjaganya, kedai jahit tak dapat dibuka dan pendapatan pun tak masuk. Suami pun terpaksa berhenti kerja. Selepas suami keluar hospital, kami pun jarang balik rumah mentua. Masa banyak dihabiskan di kedai jahit termasuk bermalam di situ. Kedai yang sempit itulah suami dan anak terbaring dan berehat. Memang tak selesa tapi apa pilihan yang ada," katanya.
Tak terhenti di situ, suami juga diserang sakit saraf, Rheumato Athritis dan masa sama gout terus aktif.
"Setiap bulan dia perlu mengambil suntikan khas untuk saraf. Satu suntikan berharga RM2,000. Ketika itu juga saya perlu membayar RM23,000 secara 'lumpsum' kepada pihak hospital. Ketika itu saya mendapatkan bantuan pusat zakat yang akhirnya sudi membiayai perubatan suami untuk setahun. Saat itu juga saya berjanji untuk membayar zakat walaupun apa jadi sekalipun.
Usaha turun naik ke Jabatan Kebajikan Masyarakat membuahkan hasil apabila status Orang Kurang Upaya (OKU) suami berjaya diperolehi selain urusan berkaitan untuk mendapatkan pencen ilat," katanya.
Menurut Rosniwati lagi, menerusi ujian dilalui, dia dan suami juga berpakat untuk menceburi perniagaan lain dan memiliki jenama produk sendiri, Saapuu di bawah syarikat Mawar Shazni Sdn Bhd.
Ia dipasarkan sejak Jun tahun lalu. Bagaimanapun penjenamaan produk itu dilancarkan sekitar Disember tahun lalu.
Kata Rosniwati lagi, produknya dicampur dengan ramuan asli dan organik seperti Aloe Vera, Daun Bidara, Curcumin, Minyak Argan dan Madu.
“Set rangkaian produk Saapu dihadirkan dalam dua jenis iaitu dalam bentuk gel sabun dan gel sapu. Harga untuk dua produk itu dalam lingkungan RM150. Kita juga jual secara berasingan dengan harga istimewa.
Ada yang anggap harga produk ini mahal di saat situasi pandemik COVID 19. Tapi jika mahu dibandingkan dengan kualiti dan manfaatnya, harga yang ditawarkan cukup berbaloi. Malah kita juga mahu terus berusaha melakukan penjenamaan untuk produk ini secara habis-habisan. Kalau diizinkan saya sendiri mahu digelar Ratu Saapuu. Kita juga ada strategi menawarkan hadiah termasuk wang tunai untuk stokis, agen, dropship dan pembeli,” katanya.
Kata Rosniwati lagi, suaminya, Roshazly Rusali, sendiri mempunyai masalah kulit yang kronik. Namun selepas menggunakan produk berkenaan, masalah yang dihadapi semakin berkurangan.
“Suami saya memakainya sejak dua tahun lalu. Dia memakainya seperti menggunakan bedak sejuk. Ketika itu ramuan produk ini belum dikomersialkan dan lebih untuk kegunaan sendiri. Resipi ramuan dikongsi salah seorang pakar rawatan tradisional yang sering suami saya gunakan khidmatnya. Daripada situ, diolah ramuan sedia ada dengan cara tersendiri,” katanya.
Produk yang dikeluarkan olehnya itu juga telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan telah menjalani ujian makmal (lab test).
Kepada yang ingin menjana pendapatan mahupun membeli produk berkenaan, boleh layari www.saapuu.my atau Instagram: @saapuu.skin
0 comments:
Post a Comment