Beauty. Lifestyle. Travel. Review. Collaboration.

22 June 2022

Filem Mat Kilau | Filem Wajib Tonton

Seperti pepatah harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, itulah yang akan disaksikan oleh penonton lewat buah tangan terbaharu pengarah berprolifik, Syamsul Yusof.

Karya terbaharu yang diterbitkan oleh Studio Kembara ini membentangkan sejarah penting dalam filem biografi epik, Mat Kilau. Latar perjuangan Mat Kilau disifatkan amat berharga bukan sekadar untuk mencetak rekod di dunia hiburan, tetapi juga mahu berkongsi kehebatan dan jati diri pahlawan dalam menyelamatkan negara kepada generasi masa kini.

Poster Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan

Aktor Datuk Adi Putra diberi tanggungjawab menghidupkan darah pahlawan Mat Kilau Imam Rasu atau Mat Kilau. Beliau kemudian dibantu dengan barisan pelakon yang bukan calang calang.

Datuk Adi Putra Sebagai Mat Kilau

Ini termasuklah Wan Hanafi Su sebagai ayah Mat Kilau iaitu Tok Gajah, Beto Kusyairy (Wahid), Khir Rahman (Usup), Fattah Amin (Awang), Johan As’ari (Yassin) dan aktor aksi handalan Indonesia, Yayan Ruhian sebagai Toga.

Filem yang mengisah seorang pahlawan Melayu Mat Kilau bersama ayahandanya Tok Gajah dan sahabat-sahabatnya, bangkit menentang penjajahan British ini turut dikuatkan dengan barisan aktor dan aktres terbaik tanah air seperti Datuk Jalaluddin Hassan, (Hj. Muhammad), Datuk Rahim Razali, (Imam Bottoqh) Namron, (Hj. Sulong), Shaharuddin Thamby, (Datuk Bahaman) dan Ellie Suriaty, (Ibu Yassin).

Fattah Amin Sebagai Awang

Beto Kusyairy Sebagai Wahid

Yayan Ruhian Sebagai Toga

Menelan belanja RM8 juta, Mat Kilau menjalani penggambaran selama 100 hari dengan sebahagiannya dijalankan di Perak dan beberapa lokasi lain termasuk Pahang, Melaka dan Selangor.

“Sebagai penerbit kami berharap seluruh masyarakat Malaysia menonton filem ini dan terhibur. Filem arahan Syamsul Yusof ini akan membawa kita kembali ke zaman tersebut, merasai kepayahan, keberanian, pengorbanan dan jiwa kepahlawanan yang ada dalam memperjuangkan tanah air kita. Ini adalah sebuah sejarah yang sangat memberi inspirasi,” kata penerbitnya, Shahruddin Dali.



Mat Kilau dibikin dalam suasana  tahun 1892 sewaktu pihak kolonial British telah menduduki tanah-tanah di Pahang. British mengaut hasil bumi Pahang milik orang-orang Melayu dan mencampuri urusan adat dan agama orang-orang Melayu.

Tidak membiarkan kebiadaban British di bumi Pahang berleluasa, Mat Kilau, Tok Gajah dan sahabat-sahabatnya bangkit menentang British.


Kebijaksanaan Mat Kilau dan Tok Gajah merancang penentangan telah menyebabkan pihak British mengalami tekanan dan kerugian sehingga berlakunya pertempuran yang sengit.

PENERBIT FILEM MAT KILAU TERHARU SOKONGAN PIHAK FINAS DAN MEDIA

Usai tayangan perdana filem Mat Kilau - Kebangkitan Pahlawan yang diadakan pada Khamis lalu, 16 Jun 2022 di GSC Starling Mall, Tuan Haji Abdul Rahman Mt Dali selaku Pengarah Urusan dan Penerbit Studio Kembara merakamkan jutaan terima kasih dan rasa bersyukur di atas sambutan yang diberikan kepada filem terbitan Studio Kembara ini. 

Tuan Haji Abdul Rahman Mt Dali selaku Pengarah Urusan dan Penerbit Studio Kembara merakamkan jutaan terima kasih dan rasa bersyukur di atas sambutan yang diberikan kepada Filem Mat Kilau

Menurutnya, “Pihak Studio Kembara berasa  sangat bersyukur serta terharu di atas respon-respon positif dan  sangat mengalakkan  yang diterima dari pelbagai pihak termasuk media dan para tetamu jemputan yang hadir pada tayangan perdana baru-baru ini.”

Menurutnya, setelah sekian lama berusaha gigih untuk menghasilkan filem yang membangunkan kecintaan tanahair ini, ia telah disambut dengan begitu baik. Malah kehadiran mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad ke acara tersebut turut menunjukkan bahawa hasil kerja anak tempatan mendapat perhatian dari pelbagai pihak.

“Saya ingin merakamkan rasa dan penghargaan terima kasih khas kepada pihak Finas kerana menyokong dan membantu menjayakan projek filem ini dari awal lagi sehingga akhir.  Kehadiran Pengerusi Finas, YB Senator Datuk Seri Hajah Zurainah bt. Musa dan Ketua Eksekutif Finas, YBRS Profesor Dr. Md Nasir Ibrahim terus membuktikan komitmen pihak Finas untuk membantu memajukan industry perfileman negara.

“Filem yang baik boleh menjadi medium membangunkan malah mampu mengharumkan nama negara.  Studio Kembara bersedia bersama membantu  mengangkat agenda nasional di masa akan datang dengan penghasilan produk-produk yang menambil nilai rakyat Malaysia,” katanya dalam rasa terharu.

Filem berjudul Mat Kilau – Kebangkitan Pahlawan yang akan ditayangkan mulai 23 Jun ini diharap dan dijangka akan mendapat sambutan hangat serta menjadi penerobos psikologi yang mencetus keyakinan baru kepada pemain industri hiburan tempatan dan seterusnya melangkah lebih maju ke depan. 

Studio Kembara memilih untuk menghasilkan filem inspirasi dari kisah benar ini untuk menonjolkan ketokohan watak yang dicatatkan oleh sejarah. Terdapat banyak catatan sejarah kebijaksanaan dan keberanian beliau. Terdapat juga catatan-catatan pihak British yang ditemui mengakui pengaruh besar beliau kepada masyarakat zaman itu dalam membangkitkan semangat mempertahankan maruah bangsa melayu dan kedaulatan bumi Pahang. Ramai yang tidak mengetahui ada rekod pihak British yang merakamkan gerakan besar yang dipimpin Mat Kilau telah menyebabkan kemusnahan dan kerugian besar kepada British. 

Mat Kilau menampil contoh sifat kelelakian yang sentiasa diperlukan pada setiap zaman. Seorang pemimpin yang kuat berpegang kepada agama, budaya Melayu, matang, berakhlak baik, cinta tanahair, berani dan sedia berkorban untuk mempertahankan watannya dari sebarang bentuk pencerobohan. Beliau juga diiktiraf sebagai tokoh negara. 

Tontonlah filem aksi tanpa henti ini, yang menyaksikan pengorbanan, keberanian, dan kesatuan pahlawan-pahlawan Melayu untuk membebaskan tanahair tercinta.

Untuk berita terkini, sila layari:

Facebook:

https://www.facebook.com/Filem-Mat-Kilau-324216361284843

Instagram: https://www.instagram.com/filem_matkilau/

Twitter: https://twitter.com/Filem_MatKilau

TikTok:

https://www.tiktok.com/@filem_matkilau

Youtube:

https://www.youtube.com/channel/UCkQtOTKEicFiYe_tnlvoFwg

Ikuti Studio Kembara di https://www.instagram.com/studiokembara/

#kebangkitanpahlawan #jagabangsajagaagama



0 comments:

Post a Comment

Social Profiles

Twitter Facebook Google Plus LinkedIn RSS Feed Email Pinterest
Intellifluence Logo

Follow My IG

Adidas

Domain murah

Rezeki Travel

Popular Posts

Blog Archive

Followers

Rezeki Bulanan

BTemplates.com

Shopee

Copyright © Qisstiera | Powered by Blogger
Design by Lizard Themes | Blogger Theme by Lasantha - PremiumBloggerTemplates.com